Selasa, 4 Disember 2012

Bagaimana Kita Berinteraksi dengan al-Qur'an dan al-Sunnah?


Pendahuluan

Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menjadikan al-Qur'an dan al-Sunnah sebagai sumber ambilan hukum yang paling utama dan paling unggul. Ciri-ciri dalam mengambil sumber agama juga disebut sebagai Manhaj Talaqqi. Ia membentuk asas yang amat penting dalam perbincangan berkenaan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Banyak individu mahupun kumpulan sejak daripada zaman awal Islam sehinggalah ke masa-masa yang akan datang, tersasar daripada jalan yang lurus kerana tidak memiliki ciri-ciri yang benar dalam mengambil sumber agama. Ciri-ciri ini bukanlah sesuatu yang baru, ia lazim disebut-sebut oleh kita sebagai “Berpegang teguh kepada al-Qur’an dan al-Sunnah”. Namun bagaimana ciri-ciri kita berpegang kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, itulah yang menjadi tumpuan dalam perbincangan pada kali ini.




Pertama: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah pada tangga yang teratas. Tidak ada petunjuk mahu pun hujah yang dapat mendahului petunjuk dan hujah al-Qur’an dan al-Sunnah. Justeru Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak berfikir, berucap atau berbuat sesuatu melainkan ia berasal daripada al-Qur’an dan al-Sunnah manakala hasil daripada pemikiran, ucapan dan perbuatan tersebut juga selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. 

Penjelasan:

Ciri ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

"Wahai orang-orang yang beriman!  Janganlah kamu mendahului (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran daripada) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [al-Hujurat 49:01]

Ciri ini membetulkan manhaj sebahagian orang yang mendahului Allah dan Rasul-Nya dalam mencipta dan melakukan sesuatu pemikiran, ucapan atau amalan. Kemudian apabila ditanya apakah dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, barulah mereka tercari-cari ayat dan hadis yang dapat disesuaikan dengan pemikiran, ucapan dan amalan tersebut. Apabila ternyata tidak ada yang dapat dijadikan dalil, mereka beralih kepada strategi menggunakan ayat dan hadis yang umum, mentakwilkan maksudnya dengan takwilan yang batil, menggunakan hadis yang tertolak sanadnya,  atau – yang paling masyhur – memberi alasan: “Memang tidak ada dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, tetapi Allah dan Rasul-Nya tidak melarangnya”.

Strategi di atas ditolak oleh ayat pertama surah al-Hujurat di atas. Dalam urusan agama, sesuatu pemikiran, ucapan dan perbuatan hendaklah mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah, bukannya mendahului al-Qur’an dan al-Sunnah.


Kedua: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengunggulkan al-Qur’an dan al-Sunnah pada tangga yang teratas secara zahir dan batin.

Penjelasan:

Ditekankan faktor zahir dan batin kerana sebahagian orang menyebut-nyebut bahawa mereka mengunggulkan al-Qur’an dan al-Sunnah, tetapi hakikatnya mereka hanya mengunggulkan secara zahir manakala batinnya mengunggulkan sesuatu selain al-Qur’an dan al-Sunnah, seperti pendapat tuan guru, amalan masyarakat serta faktor-faktor keduniaan seperti ego dan maruah.

Seandainya terbukti pemikiran, ucapan dan perbuatan mereka selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, pasti mereka akan bergembira dan menonjol-nonjolkan keselarian tersebut. Namun apabila terbukti berbeza dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, batin (dada) mereka terasa amat sempit lagi gusar, lalu mereka berpaling daripada al-Qur’an dan al-Sunnah atau cuba menjustifikasikan pemikiran, ucapan dan perbuatan tersebut dengan strategi yang seumpama mereka yang tidak mendahulukan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Faktor zahir dan batin amatlah penting kerana ia merupakan ciri-ciri orang yang benar imannya:

"Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: “Kami beriman kepada Allah dan kepada Rasul-Nya serta kami taat”; kemudian sepuak daripada mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman.  

Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak daripada mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).  

Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya).  

(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit  atau kerana mereka ragu-ragu, atau pun kerana mereka takut bahawa Allah dan Rasul-Nya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan Rasul-Nya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan tindakan mereka itu).  

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan." [al-Nur 24: 46-51]


Ketiga: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah berinteraksi dengan al-Qur’an dan al-Sunnah melalui tiga syarat berikut:
  1. al-Sunnah tersebut terbukti sahih sebagaimana yang dinilai oleh para mujtahid atau ahli hadis yang muktabar.
  2. al-Qur’an dan al-Sunnah dirujuk secara keseluruhannya. Ini kerana keseluruhan al-Qur’an dan al-Sunnah, sama ada antara ayat dengan ayat, antara hadis dengan hadis dan antara ayat dengan hadis, ia saling melengkap, menjelas dan memperinci antara satu sama lain.
  3. al-Qur’an dan al-Sunnah difahami berdasarkan kefahaman generasi al-Salaf al-Shalih.

Penjelasan:

Ketiga-tiga syarat di atas ditekankan kerana jika dikaji sejarah pelbagai aliran dan kelompok yang tersasar dari dulu hingga kini, bahkan pada masa-masa akan datang, akan didapati mereka juga berinteraksi dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Akan tetapi:
  1. Mereka tidak membezakan darjat al-Sunnah yang dirujuk. Malah kebanyakan hadis yang mereka dakwa sebagai al-Sunnah memiliki darjat yang amat lemah (dha‘if jiddan), palsu (maudhu’) atau yang tidak memiliki asal usulnya.
  2. Mereka tidak merujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah secara keseluruhannya. Mereka hanya mengambil sebahagian al-Qur’an dan/atau sebahagian al-Sunnah, sekadar apa yang selari dengan kehendak mereka.
  3. Mereka tidak memahami al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan kefahaman para sahabat. Mereka memahami atau melakukan takwil yang amat pelik terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah sehingga akhirnya melahirkan pemikiran, ucapan dan perbuatan yang berbeza dengan al-Salaf al-Shalih.
Pemahaman generasi al-Salaf menjadi hujah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

"Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan dia pula mengikut jalan yang lain daripada jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada Hari Akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." [al-Nisa’ 4:115]

Yang dimaksudkan dengan orang-orang yang beriman ialah generasi yang pertama sekali menerima risalah Islam daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu para sahabat, kemudian diikuti oleh generasi selepas mereka, iaitu para tabiin, diikuti dengan generasi selepas mereka, iaitu tabi-tabiin. Maka jalan mereka ialah kefahaman mereka tentang al-Qur’an dan al-Sunnah yang mereka terima daripada Rasulullah. Orang-orang selepas mereka hendaklah mengikuti jalan yang sama, iaitu kefahaman yang sama. Ayat di atas memberi ancaman keras bagi sesiapa yang mengikuti jalan atau kefahaman yang berbeza dengan kefahaman generasi awal, iaitu generasi al-Salaf. 

Namun tidak semua individu daripada kalangan generasi al-Salaf yang dapat digunakan kefahaman mereka sebagai hujah kerana ada di kalangan mereka yang tidak mengikuti jalan atau kefahaman para sahabat. Oleh kerana itu perkataan al-Salaf dilengkapi dengan perkataan al-Shalih iaitu, mereka yang mengikuti apa yang baik lagi benar daripada jalan atau kefahaman para sahabat. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

"Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan, Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar." [al-Taubah 9:100]


*Dinukil dengan beberapa suntingan daripada buku Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah terbitan Jahabersa.