Jumaat, 23 November 2012

Benarlah Cinta Itu Buta - Sains Membuktikannya


Mengapa kamu memakai cincin perkahwinan kamu di jari yang salah?" "Oh.. kerana aku berkahwin dengan orang yang salah" - Lawak barat

Cinta itu buta, pepatah yang seringkali diucapkan oleh segenap manusia, baik dari para artis, penyajak apatah lagi oleh mereka yang bercinta, setelah sekian lama ianya menjadi misteri, saintis Andreas Bartels dan Semir Zeki dari Wellcome Department of Imaging Neuroscience, University College London membuktikan ungkapan tersebut. Dengan menggunakan sistem imbasan "Functional Magnetic Resonance Imaging" (fMRI), apa yang berlaku di dalam otak manusia akibat "cinta" itu dapat dikaji dan difahami dengan lebih mendalam lagi.




Dengan menggunakan teknik fMRI ini, mereka mendapati kawasan tertentu otak menjadi aktif yang mana ini yang membuatkan cinta memberi kesan yang hebat kepada manusia. Mereka juga mendapati "cinta" juga menyebabkan aktiviti di bahagian tertentu otak terhenti dan menyebabkan kita tidak nampak akan kepincangan atau keburukan pada seseorang yang kita cintai itu, inilah yang dikatakan "buta".


Kertas saintifik mereka itu membuat kajian cinta antara ibu dan anak dan juga antara lelaki dan wanita, kedua-duanya menunjukkan keputusan yang hampir serupa. Baik ibu dan anak mahupun pasangan kekasih, manusia akan menjadi "buta" disebabkan oleh cinta. Menurut pandangan saintis, cinta adalah sesuatu yang "terbina" di dalam diri manusia itu sendiri untuk memastikan manusia terus kekal di muka bumi baik dari segi berkembang biak mahupun untuk menjaga anak-anak tersebut. Bayangkan apa terjadi jika kita serta merta boleh nampak akan kepincangan orang yang dicintai? Maka ramai yang tidak akan berkahwin, si anak pula akan mati kerana si ibu tidak mahu bergelumang dengan kepayahan menjaganya.

Kedua-dua saintis tersebut mengambil data imbasan otak daripada 22 orang ibu yang melihat gambar anak-anak mereka dan juga anak-anak wanita lain yang rapat dengannya. Mereka juga mengambil imbasan otak daripada sukarelawan lain dan mengambil data imbasan otak ketika mereka melihat gambar pasangan, kawan baik dan juga kenalan.

Data daripada imbasan otak itu menunjukkan bahawa, bagi kedua-dua jenis hubungan (ibu anak dan kekasih) bahagian otak yang dikaitkan dengan "mendapat ganjaran" menjadi aktif. Ianya sama juga ketika keadaan kita mendapat ganjaran lain seperti makanan, minuman, mengambil dadah dan juga mendapat ganjaran wang atau duit. Jadi "cinta" itu juga boleh dilabelkan sebagai dadah, cuma ianya dadah semulajadi wujud di dalam diri manusia itu sendiri.

Bahagian otak yang menjadi tidak aktif (switch off) pula adalah kawasan-kawasan tertentu di prefrontal cortex (frontal lobe), yang mana ianya adalah bahagian otak yang membuat penilaian sosial terhadap seseorang itu, apa yang dipanggil "critical sosial assessment". Begitu juga dengan kawasan otak yang ada hubungannya dengan emosi negatif seperti kekasaran, ketakutan dan juga merancang. Dalam erti kata lain, emosi cinta itu bukan sahaja membuatkan manusia itu "buta" dan tidak nampak kekurangan dan kepincangan atau keburukan terhadap insan yang dicintai itu, malah emosi-emosi negatif terhadap pasangan juga tidak wujud disebabkan oleh emosi cinta itu. Akan tetapi apabila emosi cinta itu sudah berkurangan, bahagian otak yang membuat penilaian sosial itu tadi akan menjadi aktif semula.

Terdapat beberapa perbezaan antara kedua-dua hubungan ini antaranya adalah, dalam hubungan kekasih, bahagian otak yang terlibat dalam rangsangan seks juga menjadi aktif, ini tidak didapati dalam imbasan hubungan ibu dan anak. Begitu juga pada bahagian otak yang mengenal pasti reaksi muka (facial expression) juga amat aktif dalam hubungan ibu dan anak. Penulis kertas saintifik itu membuat andaian, kebolehan untuk melihat reaksi perubahan pada muka anak penting untuk ibu mengetahui situasi anak.

Apakah implikasi kajian ini terhadap kehidupan manusia di dunia ini? Adakah si "dia" yang kita cintai itu benar-benar sesuai untuk kita? Bolehkah kita hanya percaya kepada perasaan cinta terhadap seseorang itu jika "cinta" tersebut membuat kita tidak nampak akan kekurangan atau keburukan seseorang yang digilai itu? Jika seseorang itu sedang mabuk bercinta akan tetapi ibu dan bapa tidak merestui atau menghalang perhubungan tersebut, ataupun mungkin ada rakan-rakan yang cuba menasihati agar tidak meneruskan hubungan dengan seseorang itu, ini adalah kerana mereka boleh nampak ketidaksesuaian si "dia", tetapi yang sedang mabuk bercinta tidak nampak dan memarahi ibu bapa dan rakan malah ada yang lari dari rumah kerananya. Ini kes yang kecil, bagaimana pula dengan kes sehingga meninggalkan agama yang sudah tidak menjadi suatu yang menghairankan lagi?

Bagaimana pula dengan cintakan dunia? Cintakan materialisme, harta, rumah kereta dan kesenangan hidup di dunia. Cintakan dunia berkait rapat dengan ganjaran serta merta yang boleh dirasai, dilihat, dipegang dan dialami secara nyata dan ini juga melibatkan bahagian otak yang sama (reward center). Walaupun laporan saintifik ini tidak mengkhusus kepada cintakan materialistik, jika dikaitkan dengan "ganjaran" yang diperoleh daripada nikmat dunia itu maka hipotesis saya, ia juga membuatkan kita tidak nampak akan keburukannya. Disebabkan itu manusia akan menghalalkan apa yang haram jika cintakan dunia itu menyelimuti pemikiran dan emosi mereka dan tidak lagi boleh nampak kerosakan besar yang dialami disebabkan perbuatan mereka itu tadi. Maka tidak hairanlah jika manusia menghalalkan riba apa yang telah Allah haramkan, tidak hairanlah mengapa manusia menghalalkan arak apabila Allah mengharamkannya. Jika dikaitkan kembali dengan cinta terhadap manusia, tidak hairanlah mengapa manusia menghalalkan pergaulan bebas apabila Allah mengharamkannya.

Masalah utama cintakan dunia ini sebenarnya adalah ianya tidak akan pernah cukup, contohnya apabila anda mendapat kereta baru, bukan main hebat menjaganya malah sanggup basuh setiap hari, selepas beberapa minggu komitmen anda mula luntur, tak lama selepas itu model baru pula keluar dijalanan dan anda akan mula befikiran untuk menukar kereta. Bagaimana pula dengan cinta ibu bapa pada zaman ini dengan membiarkan anak dijaga oleh orang lain? Adakah cintakan wang, harta dan pangkat sudah melebihi cintakan si anak sedangkan fitrah wanita itu adalah untuk melahir, menjaga, mengasuh dan mendidik anak dan bukannya untuk bersaing dengan kaum lelaki? (Saya sedar ini soalan sensitif, maka tepuk dada, tanya iman dan aktifkan frontal lobe (otak) anda sebelum memberi komen).


Cintakan dunia juga amat bahaya kerana Allah telah berfirman dalam al-Quran;

"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya."  [Hud 11:15]

Ini bermakna, disebabkan Pemurahnya Allah itu, apa yang kita inginkan boleh sahaja dikecapi jika kita berusaha walaupun tanpa mengira halal dan haram akan tetapi hanya apabila di akhirat kelak baru kita sedar siapa sebenarnya yang rugi.

"Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya Neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir daripada rahmat Allah."  [al-Isra' 17:18]

Jadi apakah benteng kita terhadap "buta" di dunia ini? Jawapannya teramat mudah, cintailah Allah kerana walaupun kita "buta" disebabkan perasaan dan emosi cinta itu, tiada cacat celanya pada Allah, Maha sempurna segalanya, malah selangkah kita rapatkan diri kepada Allah (dengan mencintai Allah) sepuluh langkah Allah SWT akan menghampiri kita, dan ini adalah pendinding kita terhadap segala tipu muslihat di dunia ini. Utamakanlah cinta kepada Allah terlebih dahulu sebelum yang lain, sudah janji Allah itu kebaikan dan kesenangan akan menyusul kemudiannya baik untuk dunia mahupun akhirat.


Sebab itulah juga Nabi berpesan agar memilih agama sebagai kriteria utama untuk memilih pasangan lebih utama berbanding harta dan keturunan kerana itu sebenarnya jaminan keselamatan dunia dan akhirat, akan tetapi berapa ramaikah kita yang benar-benar mengikut pesanan baginda? Mungkin disebabkan itulah banyak terjadinya perceraian apabila pasangan tidak boleh berkompromi selepas berkahwin setelah mula melihat keburukan atau kepincangan pasangan apabila emosi cinta yang sebelumnya itu berkobar-kobar mula menurun (bahagian otak untuk penilaian sosial kembali aktif). Dengan ego baik pada lelaki dan wanita, maka masing-masing membuat haluan tersendiri dan anak menjadi mangsa. Sebab itu niat asal (nawaitu) untuk berkahwin itu amat penting, adakah kerana rupa, harta, kesenangan dunia atau untuk mendapat keredhaan Allah (ibadah)?

Benarlah cinta itu buta, sebab itu ramai yang teraba-raba. Meraba mencari kebahagiaan dengan pelbagai cara tanpa lagi memikirkan hukum halal haramnya, bolehkah kita mengharap kebahagiaan pada manusia jika kita "buta" akan kekurangan pada orang yang dicintai? Bolehkah kita mengharapkan dunia jika ianya tidak akan pernah cukup untuk memenuhi nikmat materialisme itu? Sesungguhnya hanya pada Allah sahajalah kita boleh berharap untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan seterusnya di akhirat. Cintailah Allah kerana dari Dialah kita datang dan kepadaNya kita akan kembali. Jadikanlah suruhan dan larangan-larangan Allah itu sebagai pedoman hidup, bukan memilih apa yang sesuai untuk diri dan menolak dengan apa yang tidak sesuai untuk diri apabila akal pendek manusia tidak boleh melihat tujuan dan kebaikannya.


Sumber: http://syurgadidunia.blogspot.com/2009/11/benarlah-cinta-itu-buta-sains.html