Rabu, 26 Disember 2012

Sakit Pun Ada Faedah


Hidup ini tidak terlepas daripada dugaan dan ujian, bahkan dugaan dan ujian merupakan Sunnatullah dalam kehidupan. Manusia akan diuji dengan setiap sesuatu, dengan hal-hal yang disenangi dan disukainya mahupun dengan hal-hal yang dibenci dan tidak disukainya. Allah berfirman;


“Setiap yang bernyawa akan merasai kematian. Kami akan mengujimu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.” [al-Anbiyaa’, 21: 35]

Berbagai dugaan, ujian, penderitaan, penyakit, kesulitan dan kesengsaraan mempunyai hikmah dan manfaat yang sangat banyak. Berikut ini adalah beberapa manfaat sakit dan hikmahnya;

1. Menghapuskan dosa dan kesalahan.

Wahai saudaraku yang sedang sakit, penyakitmu itu merupakan sebab diampunkan kesalahan-kesalahan yang pernah engkau lakukan dengan hati, pendengaran, penglihatan, lisan dan dengan seluruh anggota tubuhmu. Kadang-kala penyakit itu juga merupakan hukuman terhadap dosa yang pernah dilakukan seseorang sebagaimana firman Allah;

“Dan apa pun musibah yang menimpamu adalah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (daripada kesalahan-kesalahanmu).” [al-Syuraa, 42: 30]

Hadis-hadis yang menjelaskan pengampunan dosa kerana ditimpa musibah dan penyakit sangat banyak, antaranya Rasulullah bersabda;

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa penyakit atau seumpamanya, melainkan Allah akan menggugurkan dosa-dosanya bersamanya, seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” [HR Bukhari, no. 5660, Muslim, no. 2571 dan lafaz ini daripada Muslim]

Rasulullah juga bersabda;

“Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanaan, hingga duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada kesalahan-kesalahannya.” [HR Bukhari, no. 5641]

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda;

“Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguji hamba-Nya dengan penyakit sehingga ia menghapuskan setiap dosa darinya.” [Shahih: HR al-Hakim (1/347-348)]



2. Dicatat berbagai kebaikan dan darjat ditinggikan.

Antara faedah penyakit, jika seseorang bersabar, dia akan diberi pahala dengan dituliskan kebaikan dan darjatnya diangakat. Rasulullah bersabda;

“Tidaklah seorang hamba ditimpa suatu musibah lalu mengucapkan: ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan akan kembali kepada-Nya. Ya Allah berilah aku ganjaran dalam musibahku ini, dan berilah ganti kepadaku dengan yang lebih baik daripadanya.’ Melainkan Allah memberi pahala dalam musibahnya itu dan menggantikan untuknya dengan yang lebih baik daripadanya.” [HR Muslim, no. 918]

Selain itu Rasulullah juga bersabda;

“Tidaklah seorang Muslim tertusuk duri atau lebih daripada itu, melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya.” [HR Muslim, no. 2572]

3. Jalan menuju Syurga.

Syurga tidak dapat diperoleh melainkan dengan sesuatu yang tidak disukai oleh jiwa manusia. Rasulullah bersabda;

“Syurga itu dikelilingi dengan hal-hal yang tidak disukai dan Neraka itu dikelilingi dengan berbagai macam syahwat.” [HR Bukhari, no. 6487, Muslim, no. 2822, 2823, lafaz ini daripada Muslim]

Allah berfirman dalam sebuah hadis qudsi;

“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu melainkan Syurga.” [Hasan: HR Ibn Majah, no. 1597]

Rasulullah juga bersabda;

“Allah Ta’ala berfirman: ‘Tidak ada suatu balasan di sisi-Ku bagi hamba-Ku yang beriman, jika Aku telah mencabut nyawa orang kesayangannya daripada penduduk dunia kemudian dia bersabar di atas kehilangan orang kesayangannya itu, kecuali Syurga.’” [HR Bukhari, no. 6424]

Dalam sebuah hadis yang lain direkodkan Rasulullah bersabda;

“Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung berfirman: ‘Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua hal yang dicintainya (dua belah mata), lalu dia bersabar (dan mengharapkan pahala), maka Aku akan menggantikan kedua-duanya dengan Syurga.’” [HR Bukhari, no. 5653. Kata yang berada dalam kurungan kedua tersebut daripada kitab Sunan Tirmizi, no. 2401]

Wahai saudaraku yang sedang sakit, nash-nash ini menunjukkan secara nyata bahawa musibah, penyakit dan kesedihan merupakan sebab yang dapat membawa ke Syurga. Semoga Allah memasukkan kita semua ke dalam Syurga dengan rahmat-Nya, amin.

4. Menyelamatkan daripada api Neraka.

Rasulullah bersabda;

“Sakit demam itu menjauhkan setiap orang Mukmin daripada api Neraka.” [Shahih: HR al-Bazzar. Lihat Silsilah al-Ahaadiis al-Shahihah, no. 1821]

Oleh kerana itu, tidak boleh bagi seorang Mukmin mencaci maki penyakit demam kerana Rasulullah pernah menjenguk orang yang sakit demam lalu baginda berkata: “Tidak ada barakah padanya.” Lalu Rasulullah bersabda;

“Janganlah kamu mencaci maki penyakit demam, kerana sesungguhnya demam itu akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi.” [HR Muslim, no. 2575]

5. Penyakit merupakan nikmat dan anugerah.

Dek kerana dugaan dan ujian itu merupakan nikmat, maka orang-orang soleh gembira sekiranya mendapat dugaan tersebut, tiada bezanya jika mereka mendapat kesenangan. Nabi telah menyebutkan bahawa dugaan para Nabi dan orang-orang soleh adalah penyakit, kemiskinan dan lain-lainnya. Setelah itu baginda bersabda;

“...Dan sesungguhnya salah seorang di antara mereka benar-benar merasa gembira kerana menerima ujian, sebagaimana salah seorang  di antara kalian merasa gembira kerana mendapat kelapangan.” [Shahih: HR Ibn Majah, no. 4024]



Nasihat untuk orang yang ditimpa musibah dan penyakit

1. Ingatlah bahawa musibah, malapetaka, ujian dan penyakit serta apa saja yang terjadi, semuanya telah ditaqdirkan Allah. Allah berfirman;

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia-lah pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman bertawakkal.’” [al-Taubah, 9: 51]

2. Engkau harus tahu bahawa Allah telah memilih suatu penyakit bagimu dan meredhainya, kerana Dia lebih mengetahui kemashlahatanmu berbanding dirimu sendiri. Dia Maha Bijaksana yang meletakkan segala sesuatu pada tempatnya yang sesuai. Maka, musibah yang menimpamu itu merupakan kebijaksanaan sekaligus rahmat daripada Allah.

3. Ingatlah bahawa ujian dan penyakit adalah tanda Allah cinta kepada hamba-Nya. Rasulullah bersabda;

“Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya ujian. Dan sesungguhnya jika Allah menyukai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang redha, maka baginya keredhaan, dan barang siapa yang murka, maka baginya kemurkaan.” [Hasan: HR al-Tirmizi, no. 2396, Ibn Majah, no. 4031. Lafaz ini daripada al-Tirmizi.]

Rasulullah juga bersabda;

“Barang siapa yang dikehendaki Allah akan kebaikan pada dirinya, maka Dia memberikan ujian kepadanya.” [HR Bukhari, no. 5645]

4. Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Rasulullah bersabda;

“Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.” [HR Bukhari, no. 5678]

Dan Rasulullah juga bersabda;

“Setiap penyakit ada ubatnya, jika suatu ubat itu tepat untuk suatu penyakit, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah.” [HR Muslim, no. 2204]

Maka, menjadi kewajipan kita untuk ikhtiar dalam mencari ubat dengan usaha yang paling maksimum.

Keutamaan menziarahi orang sakit

Direkodkan daripada Ali bahawa Rasulullah bersabda;

“Apabila seseorang berkunjung (menziarahi) seorang Muslim yang sedang sakit, maka seakan-akan dia berjalan di kebun Syurga, hingga ia duduk. Apabila sudah duduk, maka akan diliputi rahmat Allah. Apabila ia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan berselawat untuknya hingga petang. Apabila ia berkunjung pada waktu petang, maka tujuh puluh ribu malaikat akan berselawat untuknya hingga waktu pagi.” [Shahih: HR al-Tirmizi, no. 969, Ibn Majah, no. 1442. Lafaz ini daripada Ibn Majah.]

Terdapat beberapa doa yang disunnahkan untuk dibaca apabila menziarahi orang sakit. Antaranya;

1. Tidaklah seorang hamba Muslim menziarahi orang sakit yang belum datang ajalnya, lalu dia mengucapkan tujuh kali doa berikut:

أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيْمَ, رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ, أَنْ يَشْفِيَكَ.

“Aku mohon kepada Allah Yang Maha Agung, Rabb ‘Arasy yang agung, agar Dia menyembuhkanmu,” melainkan orang itu akan disembuhkan. [Shahih: HR al-Tirmizi, no. 2083, Abu Daud, no. 3106]

2. Nabi apabila menjenguk orang sakit, baginda juga mengucapkan;

لَا بَأْسَ, طَهُوْرٌ إِنْ شَاءَ اللهُ تَعَالَى.

“Tidak mengapa, semoga sakitmu ini membuat dosamu bersih.” [HR Bukhari, no. 5656]

3. Disunnahkan juga membaca doa;

بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيْكَ, مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنٍ حَاسِدٍ, اللهُ يَشْفِيْكَ, بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ.

“Dengan menyebut nama Allah, aku meruqyahmu daripada setiap sesuatu yang menyakitimu, dan daripada kejahatan setiap jiwa atau mata orang yang dengki. Mudah-mudahan Allah menyembuhkanmu. Dengan menyebut nama Allah, aku mengubatimu dengan meruqyahmu.” [HR Muslim, no. 2186]

4. Selain itu, disunnahkan juga membaca doa;

بِسْمِ اللهِ يُبْرِيْكَ, وَ مِنْ كُلِّ دَاءٍ يَشْفِيْكَ, وَ مِنء شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ, وَ شَرِّ كُلِّ ذِيْ عَيْنٍ.

“Dengan menyebut nama Allah, mudah-mudahan Dia membebaskan dirimu daripada segala penyakit, mudah-mudahan Dia akan menyembuhkanmu, melindungimu daripada kejahatan orang dengki jika dia dengki dan daripada kejahatan orang yang memiliki mata yang jahat.” [HR Muslim, no. 2185]

5. Atau boleh juga membaca doa berikut;

بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيْكَ, مِنْ حَسَدِ حَاسِدٍ, وَ مِنْ كُلِّ عَيْنٍ, اللهُ يَشْفِيْكَ.

“Dengan menyebut nama Allah, aku meruqyahmu daripada segala sesuatu yang menyakitimu, dariapada kedengkian orang yang dengki dan daripada kejahatan setiap orang yang mempunyai mata yang jahat. Mudah-mudahan Allah menyembuhkanmu.” [Hasan: HR Ibn Majah, no. 3527]

Selamat mencuba!