Khamis, 20 Disember 2012

Apa itu Salaf?


Ramai di kalangan para penuntut ilmu yang terkeliru apabila disebut kepada mereka tentang perkataan Salaf, pelbagai definisi dan takrif yang keluar dari mulut-mulut kebanyakan mereka yang tidak berdasarkan dalil dan hujjah malah hanya mengikuti hawa nafsu, emosi dan kejahilan.

Dalam permasalahan ini mereka terbahagi kepada beberapa kelompok yang masing-masing cuba menafsirkan golongan yang membawa panji-panji al-Quran, al-Sunnah dan kefahaman salafussoleh dengan pelbagai label seperti golongan wahhabi, golongan muda, salafi wahabi, salafi syadid, jalur keras, ekstrim, pemecah belah dan pelbagai label lagi.




Apa itu Salaf?

“Salaf menurut bahasa arab bermaksud golongan atau kaum terdahulu (nenek moyang) ataupun sesiapa sahaja yang mendahului kita sama ada ibu bapa kita atau kaum kerabat kita” [Lisanul `Arab, 9/158, Qamus al-Muhit, 2/391]

Menurut istilah pula, Salaf bermaksud generasi pertama dan terbaik dari kalangan umat Islam, yang terdiri dari Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam, para Sahabat, Tabi`in, Tabi` at-Tabi`in, dan para pengikut mereka yang terdiri daripada para ahli Hadith, imam-imam yang membawa petunjuk pada tiga kurun pertama yang dimuliakan oleh Allah ta`ala. Dasarnya ialah firman Allah ta`ala:

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar”. [al-Taubah:100]

Mereka ialah golongan yang mendahului umat ini dalam menyahut seruan Islam, Iman, berjihad dan menegakkan agama Allah. Tidak syak lagi mereka ialah para sahabat Nabi sallallahu`alaihiwasallam. [Taysir al-Karim ar-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Mannaan, Dar al-Hadith, ms 365]

Tidak perlu dinafikan lagi merekalah yang disebut Salafussoleh yang mendahului kita dalam akidah, ibadah, jihad dan perjuangan. Mereka meredhai Allah dan Allah meredhai mereka dan menjanjikan mereka ganjaran syurga begitu juga bagi sesiapa yang sudi dan hendak mengikuti dan menyelusuri jalan mereka. Jaminan ini dikuatkan lagi dengan pengakuan dan jaminan Nabi sallallahu`alaihiwasallam seperti dalam sabda baginda:

"Sebaik-baik manusia adalah pada kurunku ini (para sahabat), kemudian yang setelahnya (Tabi`in), kemudian yang setelahnya (Tabi` tabi`in)”. [HR Bukhari no: 3322, 3458, Muslim no: 4601]

Merekalah sebaik-baik manusia yang wajib kita contohi dan ikuti dalam akidah, ibadah,  dakwah dan akhlak kita, hal ini kerana ianya merupakan Siratul Mustaqim (jalan yang lurus), dan merupakan perintah yang datang dari Allah ta`ala dan RasulNya agar mengikutinya.

Salafi dan penisbahan golongan yang menisbahkan dengan nama ini juga adalah sesuatu yang ditunjuk oleh Nabi sallallahu`alaihiwasallam bukan sepertimana sangkaan sesetengah pihak yang memandang ianya sesuatu yang tiada dasar dalam agama, hal ini dibuktikan oleh perkataan baginda sallallahu`alaihiwasallam kepada puteri kesayangannya Fatimah radiallahu`anha:

“Sebaik-baik Salaf bagi engkau ialah aku”. [HR Bukhari no:6285, Muslim no:2450]

Berkata Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah:

“Bukanlah menjadi satu keaiban ke atas sesiapa yang menzahirkan Mazhab Salaf, dan menisbahkan kepadanya dan berbangga dengannya, bahkan wajib menerimanya dengan kesepakatan, kerana Mazhab Salaf tidaklah ada melainkan ianya benar”. [Majmu` Fatawa 4/149]

Perlu diperbetulkan juga bahawa mereka bukanlah satu pertubuhan berdaftar, organisasi, gerakan teroris atau parti politik seperti difahami segelintir orang. Mereka disebut salafi kerana mereka mengikuti manhaj (jalan/metodologi) Salafussoleh iaitu para sahabat, Tabi`in, Tabi`tabi’in kemudian para imam dan ulama`yang mengikuti manhaj mereka hingga hari kiamat.



Sumber: www.1aqidah.net