Rabu, 5 Disember 2012

Jauhi Bid'ah Sejauh-jauhnya


Pendahuluan

Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, dalam rangka meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah pada tangga yang teratas, berwaspada kepada unsur-unsur yang akan mengalih kedudukan tersebut kepada tangga yang ke bawah. Unsur yang dimaksudkan adalah bid‘ah, kerana bid‘ah bersifat menggantikan firman Allah dan sabda Rasul-Nya serta menenggelamkan al-Qur’an dan al-Sunnah sehingga akhirnya kedua-dua sumber tersebut terhapus daripada menjadi pegangan umat Islam.



Definisi Bid'ah

al-Syatibi mena’rifkan bid‘ah sebagai:

"Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.[al-Syatibi, al-I’tishom, m.s 27]

Jika dikaji keseluruhan perbincangan dan penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berkenaan bid‘ah, dapat dirumuskan bahawa bid‘ah adalah “Apa-apa urusan agama ciptaan manusia selepas zaman al-Salaf al-Shalih yang mencemari ketulenan agama dan menyelisihi tujuannya.” 

Berkata Hasan bin ‘Athiyah:

"Tidaklah satu kaum mencipta satu bid‘ah dalam agama mereka melainkan Allah mencabut daripada sunnah (Nabi) mereka sesuatu yang semisalnya, kemudian tidaklah ia dikembalikan kepada mereka sehinggalah pada hari Kiamat." [Dikeluarkan oleh al-Darimi dan sanadnya dinilai sahih oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad al-Darimi, hadis no: 99]

Perkara ini adalah sesuatu yang benar-benar berlaku pada masa kini di mana terdapat sebahagian amalan bid‘ah yang sudah sebegitu masyhur di sisi masyarakat sehingga mereka menganggap ia adalah sebahagian daripada Islam. Malah apa yang sunnah menjadi bid‘ah dan apa yang bid‘ah menjadi sunnah. Apabila ditegur kepada mereka untuk kembali mengikuti Islam yang tulen, yang ditegur pula akan dilabel sebagai ahli bid‘ah. Mereka akan berkata: “Lihatlah ahli bid‘ah ini, mereka menyuruh kami meninggalkan ajaran Islam!”

Disebabkan kemampuan bid‘ah untuk menghapuskan al-Qur’an dan al-Sunnah, para ilmuan berusaha membanteras bid‘ah sekali pun ia berada pada tahap yang amat kecil. Ini kerana setiap bid‘ah akan bermula secara kecil-kecilan lalu kemudian membesar secara bertahap-tahap sehingga akhirnya membumi di kalangan masyarakat serta dianggap sebagai Islam atau sunnah. al-Barbahari rahimahullah (329H) berpesan:

"Jauhilah setiap perkara bid‘ah sekecil mana pun kerana bid‘ah yang kecil lambat laun akan membesar. Demikianlah dengan (setiap) bid‘ah yang terjadi pada umat ini, ia berasal daripada perkara kecil dan remeh yang mirip dengan kebenaran sehingga banyak orang terperdaya dan terkecoh, lalu mengikat hati mereka sehingga susah untuk keluar daripada jeratannya. Akhirnya ia menjadi darah daging yang diyakini sebagai agama. Tanpa disedari, perlahan-lahan mereka menyelisihi jalan yang lurus dan keluar daripada Islam." [Syarh al-Sunnah]

Selain dua faktor di atas, terdapat banyak faktor lain yang menjadikan bid‘ah salah satu dasar yang terpenting dalam Islam untuk dikawal dan dibasmikan. Ia bukanlah perkara “cabang” atau “ranting” yang boleh diremehkan. Berikut dikemukakan dua belas faktor tambahan:


1. Pencipta dan pengamal bid‘ah menyekutukan Allah.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyari‘atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah?"[al-Syura 42:21]

Agama Islam adalah kepunyaan Allah Subhanahu wa Ta'ala sehingga Allah sahaja yang berhak untuk mensyari’atkan apa yang dikehendaki-Nya. Apabila manusia mencipta bid‘ah di dalam Islam, bererti dia meletakkan dirinya pada kedudukan Allah sehingga layak mensyari’atkan sesuatu yang baru dalam agama. Apabila manusia mengikut sesuatu bid‘ah, bererti dia mempunyai sembahan, iaitu tuhan selain Allah, yang mensyari’atkan agama baru bagi dirinya untuk diikutinya. Oleh kerana itulah Allah bertanya dalam bentuk pengingkaran (istifham ingkari), apakah mereka “…mempunyai sembahan-sembahan selain Allah…” sehingga layak dijadikan sumber pensyari’atan agama.

Yang dimaksudkan sebagai “…sembahan-sembahan selain Allah…” boleh terdiri daripada tokoh-tokoh kaum musyrikin yang mencipta syari’at tersendiri, lalu dijadikan agama yang berbeza daripada agama Islam. Ia juga boleh terdiri daripada tokoh-tokoh agama Islam yang mencipta syari’at tersendiri dalam bentuk pemikiran atau amalan, lalu menganggap ia adalah bahagian daripada agama Islam padahal ia berbeza daripada syari’at Islam tulen yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.


bid‘ah dalam agama Islam adalah satu kesalahan yang amat berat kerana ia boleh membawa kepada dosa syirik.


2. Pencipta dan pengamal bid‘ah menganggap Islam tidak sesuai untuk manusia. 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Maka hadapkanlah wajahmu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya - fitrah) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada agama ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [al-Rum 30:30]

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintah kita untuk “…menghadapkan wajahmu…”, yakni merendahkan diri ke arah mengikut sepenuhnya agama Allah, iaitu agama Islam. Sebabnya, lanjut Allah Subhanahu wa Ta'ala, adalah kerana agama Islam tersebut Allah ciptakan sesuai dengan fitrah manusia sehingga antara Islam yang tulen dan manusia yang sihat tidak mungkin ada pertentangan dan ketidak-sesuaian. Atas dasar kesesuaian ini, Allah melarang manusia daripada mencipta sebarang perubahan pada agama-Nya kerana ia sudah cukup betul lagi lurus.

Malang sekali kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat ini, lalu mereka mencipta dan mengamalkan perubahan pada agama Islam yang asal agar ia lebih sesuai, lebih baik dan lebih molek dengan kehendak mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “…tidaklah patut ada sebarang perubahan pada agama ciptaan Allah…” merupakan dalil jelas yang melarang bid‘ah. Ini kerana bid‘ah bersifat mengubah agama Allah yang sudah sedia sesuai di atas fitrah manusia. Selain itu mengubah agama Allah, yakni mencipta dan mengamalkan bid‘ah, bererti menganggap agama Islam yang pada asalnya diciptakan oleh Allah adalah tidak sesuai dengan fitrah manusia sehingga tidak lagi merupakan agama yang betul dan lurus. Maka atas anggapan ini, orang yang lazim mencipta dan mengamalkan bid‘ah akan“memalingkan wajahnya” kepada sesuatu yang lain daripada firman Allah (al-Qur’an) dan sabda Rasul-Nya (al-Sunnah).

Maka berdasarkan ayat 30 surah al-Rum di atas, ketahuilah bahawa mencipta dan mengamalkan  bid‘ah dalam agama bererti menganggap Allah “tersilap” dalam mencipta agama Islam ini sehingga ia tidak sesuai dengan fitrah manusia. Maha suci Allah daripada anggapan sedemikian.


3. Pencipta dan pengamal bid‘ah menganggap Islam belum sempurna. 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." [al-Maidah 5:03]

Dalam ayat yang masyhur di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala mengiktiraf tiga perkara tentang agama Islam, iaitu:

a. Islam telah disempurnakan oleh Allah untuk kita.
b. Islam adalah satu nikmat yang telah Allah cukupkan untuk kita.
c. Islam telah Allah redhai sebagai agama untuk kita.

Apabila seseorang itu mencipta dan mengamalkan bid‘ah, dia menafikan ketiga-tiga perkara di atas. Secara lebih terperinci:

a. Dia menganggap Islam masih belum sempurna sehingga masih perlu dikurang atau ditambah.
b. Dia menganggap kenikmatan Islam masih belum mencukupi sehingga masih perlu dikurang atau ditambah.
c. Dia menganggap Allah masih tidak meredhai Islam sehingga masih perlu dikurang atau  ditambah.

Justeru apabila mencipta dan mengamalkan bid‘ah, seseorang itu menganggap Allah “masih belum matang” dalam mengiktiraf kesempurnaan, kenikmatan dan keredhaan-Nya terhadap Islam sehingga masih perlu untuk dilakukan pengurangan atau penambahan. Maha suci Allah daripada anggapan sedemikian.


4. Pencipta dan pengamal bid‘ah menganggap Rasulullah tidak sempurna dalam melaksanakan tugasnya. 

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Wahai Rasul (Allah)! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya."[al-Maidah 5:67]

Selanjutnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Tidak tertinggal sesuatu apa jua yang menghampirkan (kalian) kepada syurga dan menjauhkan (kalian) daripada neraka melainkan sungguh, telah dijelaskan kepada kalian." [Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, jld. 2, hadis no: 1647]

Dalam hadisnya di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan  bahawa baginda telah pun menyampaikan segala yang “diturunkan kepadamu dari Tuhanmu”. Tidak sekadar itu, apa yang baginda sampaikan sudah mencapai kesempurnaan untuk menghampirkan umat Islam ke syurga dan menjauhkan umat Islam dari neraka.

Tidaklah seseorang itu mencipta dan mengamalkan bid‘ah melainkan dia menganggap Rasulullah “belum sempurna” dalam melaksanakan tugas baginda. Anggapan seperti ini adalah satu sindiran dan ejekan kepada baginda. Ini adalah satu kesalahan yang amat berat berdasarkan firman Allah:

"Katakanlah: “Patutkah terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejek?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu beriman."[al-Taubah 9:65-66]


5. Pencipta dan pengamal bid‘ah memisahkan diri daripada Rasulullah. 

Suatu ketika pernah beberapa orang bertanya kepada isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkenaan amalan baginda. Lalu kerana ingin beribadah melebihi baginda, sebahagian daripada mereka berazam untuk tidak bernikah, sebahagian lagi enggan memakan daging dan sebahagian lagi enggan menyentuh tilam. Mendengar azam sedemikian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar, memuji Allah dan bersabda, maksudnya:

"Apa terjadi, kenapa orang-orang ini berkata sedemikian dan sedemikian? Padahal aku bersolat dan juga tidur, aku berpuasa dan juga berbuka dan aku juga mengahwini wanita. Maka sesiapa yang berpaling daripada sunnahku maka dia bukan daripada aku." [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1401]

Orang yang mencipta dan mengamalkan bid‘ah lazim memberi alasan: “Apa salahnya, Nabi tak buat tetapi Nabi tak larang.” Hadis di atas membatalkan alasan ini. Orang-orang yang bertanya kepada isteri Rasulullah juga ingin menambah amal dan mereka menganggap ia tiada salahnya kerana Nabi tidak pernah melarangnya. Keinginan mereka kemudian dilarang oleh baginda, bahkan dikategorikan oleh baginda sebagai “…yang berpaling daripada sunnahku…”. 

Hadis di atas juga menunjukkan bahawa sikap yang benar dalam mengikuti sunnah Rasulullah ialah melakukan apa yang dilakukan oleh baginda (sunnah fi‘iliyyah) dan meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh baginda (sunnah tarkiyah).

Selain itu hadis di atas dan penjelasan yang mengikutinya membatalkan kaedah yang dibuat-buat oleh para pencinta bid‘ah, kononnya: “Apa yang didiamkan oleh Rasulullah tidak bererti dilarang”. Kaedah yang benar adalah: “Setiap ibadah adalah dilarang melainkan terdapat petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang membolehkannya, manakala setiap urusan dunia adalah dibolehkan melainkan terdapat petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang melarangnya”.


6. Bid‘ah menjauhkan umat Islam daripada kejayaan.

Dalam suasana kemunduran umat Islam masa kini, ramai yang mencari jalan untuk kembali menempuh kejayaan. Sayang sekali, jalan yang mereka tempuh ialah mencipta dan mengamalkan bid‘ah seperti mengambil pemikiran bukan Islam dan mengislamisasikannya serta menambah atau mengurangkan amalan tertentu. Mereka menganggap Islam yang tulen tidak mampu untuk memandu umat ke arah kejayaan sehingga perlu dicipta dan diamalkan bid‘ah.

Ini adalah jalan yang salah. Jalan yang benar adalah kembali kepada Islam yang tulen, iaitu firman Allah (al-Qur’an) dan sabda Rasul-Nya (al-Sunnah). Hanya dengan pemikiran dan amalan yang menepati petunjuk Allah dan Rasul-Nya, umat Islam akan kembali menempuh kejayaan. Firman Allah:

"Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan."[al-Ahzab 33:71]

"Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan."[al-Nur 24:51]


7. Bid‘ah mencerai-beraikan umat Islam. 

Satu fakta yang tidak tersembunyi sejak zaman awal Islam sehingga ke hari ini adalah umat Islam telah bercerai-berai kepada pelbagai aliran dan jamaah. Tidaklah aliran atau jamaah ini bercerai melainkan mereka terlebih dahulu mencipta dan mengamalkan bid‘ah, sama ada dalam bentuk pemikiran atau amalan, lalu mereka bercerai dan mengunggulkan diri sendiri dengan bid‘ah tersebut. Bid‘ah-bid‘ah tersebut menjadi ciri-ciri yang membezakan antara satu aliran dengan aliran yang lain, antara satu jamaah dengan jamaah yang lain. Bahkan ia membezakan aliran-aliran dan jamaah-jamaah tersebut dengan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana sunnah lawannya adalah bid‘ah dan sunnah hanya satu manakala bid‘ah tidak terbatas jumlahnya.

Oleh kerana itulah Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau (wahai Muhammad) memiliki kaitan sedikit pun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak) apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya)." [al-An’aam 6:159]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dibebaskan daripada memiliki apa-apa kaitan dengan aliran-aliran yang bercerai-berai kerana hakikatnya dalam mereka bercerai, mereka berpaling dan memisahkan diri mereka daripada sunnah baginda dan berpegang kepada bid‘ah yang tidak berasal daripada baginda.

Sikap mencipta dan mengamalkan bid‘ah, kemudian bercerai kepada pelbagai aliran dan jamaah dengan masing-masing mengunggulkan aliran dan jamaah tersendiri adalah sikap orang-orang musyrik yang Allah melarang kita daripada mengikutinya. Bahkan ia adalah salah satu keyakinan atau perbuatan yang mencemari kemurniaan tauhid seorang muslim. Firman Allah:

"Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka."[al-Rum 30:31-32]


8. Pencipta dan pengamal bid‘ah tidak mendapat apa-apa ganjaran, malah terhapus ganjaran amalan-amalannya yang lain.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Sesiapa yang mencipta dalam urusan kami ini apa yang tidak berasal daripadanya maka ia tertolak."

Dalam riwayat yang kedua, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Sesiapa yang beramal dengan amalan yang tidak berada atas urusan kami maka ia tertolak." [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1718]

Berkata al-Nawawi rahimahullah (676H) ketika mensyarahkan hadis di atas sebagai:

"Berkata pakar bahasa Arab, perkataan (الرد) dalam hadis ini memiliki makna tertolak, iaitu ia adalah batil tanpa sebarang keraguan terhadapnya. Dan hadis ini merupakan asas yang agung daripada asas-asas agama Islam. Ia merupakan salah satu daripada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang padat tetapi memiliki makna yang amat luas. Sesungguhnya ia amat jelas dalam menolak setiap bid‘ah dan orang-orang yang suka mencipta bid‘ah.

Dalam riwayat yang kedua terdapat tambahan yang menjadi bantahan kepada sebahagian orang yang beramal dengan bid‘ah yang tercipta sebelumnya, sehingga apabila diperhujahkan ke atasnya berdasarkan riwayat yang pertama, dia berkata: “Saya tidak mencipta apa-apa bid‘ah”. Maka diperhujahkan ke atasnya riwayat yang kedua dimana ia secara jelas menolak setiap jenis bid‘ah sama ada pengamal tersebut mencipta bid‘ah itu atau (sekadar mengamalkan) bid‘ah yang sudah tercipta sebelumnya.

…dan hadis ini di antara yang patut dihafal dan digunakan untuk membatalkan perbuatan-perbuatan mungkar (iaitu bid‘ah) dan disampaikan sebagai dalil (bagi membatalkan perbuatan bid‘ah)." [Syarh Shahih Muslim bi al-Nawawi (tahqiq: ‘Irfan Haswanah; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, tp.thn), jld. 6, ms. 295]

Tidaklah seseorang itu mencipta atau mengamalkan sesuatu bid‘ah melainkan dia memiliki sikap angkuh bahawa apa yang dilakukan itu adalah lebih baik, lebih sempurna, lebih molek daripada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini sebenarnya membatalkan seluruh amal seseorang itu sekalipun di antara amal tersebut ada yang benar-benar mengikuti sunnah baginda. Ini kerana sikap angkuh tersebut sinonim dengan sikap meninggikan suara di atas suara Rasulullah sebagaimana yang disentuh oleh ayat berikut:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengah yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya."[al-Hujurat 49:02]


9. Bid‘ah mencemari ketulenan Islam. 

Termasuk kesan bid‘ah adalah ia mencemari ketulenan Islam. Islam adalah agama terakhir yang diturunkan melalui Rasul Allah yang terakhir, Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Jika bid‘ah tidak dilarang, agama Islam akan mengalami perubahan yang pelbagai sehingga dalam masa yang tidak seberapa, Islam yang tulen tidak lagi diketahui ramai dan diamalkan. 

Tanpa larangan daripada melakukan bid‘ah, Islam akan menjadi seperti agama-agama lain yang mengalami pelbagai perubahan. Tidak sekadar itu, Islam akan menjadi umpama sebuah drama yang boleh diubah-suai mengikut citarasa pengarah dan penontonnya. Dalam perkataan lain, Islam akan berubah-ubah mengikut citarasa para tokoh dan umatnya, bukan lagi Allah dan Rasul-Nya.


10. Pencipta dan pengamal bid‘ah mengalami kerugian jangka masa panjang. 

Berdasarkan poin-poin di atas, dapat diketahui bahawa bid‘ah memiliki implikasi yang amat besar kepada agama dan umat Islam. Pencipta dan pengamalnya akan mengalami kerugian yang amat besar di dunia dan akhirat.

Kerugian akan menjadi berlipat kali ganda apabila seorang pencipta bid‘ah mengajar ciptaannya itu kepada orang ramai. Dia akan mendapat dosa selagi mana bid‘ahnya itu diamalkan oleh mereka dan generasi-generasi seterusnya. Demikian juga bagi para pengamal bid‘ah, sekali pun dia tidak mengajarnya, amalan tersebut tentu akan dicontohi oleh orang-orang terdekat seperti ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai. Sekali lagi, dia akan mendapat dosa selagi mana bid‘ahnya itu dicontohi oleh mereka dan generasi-generasi seterusnya. Inilah yang dimaksudkan sebagai “Pencipta dan pengamal bid‘ah akan mengalami kerugian untuk jangka masa panjang”.

Berbeza jika seseorang itu beristiqamah dengan amalan yang sahih berasal daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, maka ajarannya atau amalannya, apabila diikuti oleh orang ramai, akan menghasilkan pahala kepadanya selagi mana ia diamalkan oleh mereka dan generasi-generasi seterusnya. Semua ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Sesiapa yang menyeru kepada petunjuk maka baginya pahala sepertimana pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua pahala mereka. Sesiapa yang menyeru kepada kesesatan maka ke atasnya dosa sepertimana dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa dikurangi sedikit jua dosa mereka." [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2674]

Bahkan apabila seseorang itu berusaha untuk menghentikan amalan bid‘ah, sama ada yang turun-temurun dalam keluarganya atau masyarakatnya, dia tidak boleh dikatakan bersikap tidak sopan kepada orang-orang terdahulu dan merosakkan tradisi masyarakat. Yang benar dia berjasa besar kepada orang-orang yang terdahulu dan masyarakat. Ini kerana tindakannya menghentikan amalan bid‘ah tersebut akan menghentikan kerugian daripada terus menimpa orang terdahulu yang mencipta dan mengamalkannya. Seterusnya jika diikuti dengan doa keampunan, pasti Allah, dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Pengampun, akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang terdahulu.


11. Pencipta dan pengamal bid‘ah akan ditimpa bala bencana dan azab.

Terdapat sekian banyak ayat al-Qur’an yang mewajibkan umat Islam untuk mentaati perintah larangan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Salah satu daripadanya adalah perintah mengikuti sunnah baginda dan larangan daripada membuat bid‘ah, sebagaimana hadis baginda yang masyhur:

"Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Mahdiyyin al-Rasyidin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat." [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4609]

Sesiapa yang sengaja menjauhi sunnah dan mendekati bid‘ah, maka dia termasuk orang yang mengingkari Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dia termasuk dalam perbincangan ayat:

"Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya." [al-Nur 24:63]


12. Pencipta dan pengamal bid‘ah sukar untuk bertaubat.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Sesungguhnya Allah menutupi tabir taubat dari setiap pencipta dan pengamal bid‘ah." [Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath, hadis no: 4202]

Terdapat dua sebab mengapa pencipta dan pengamal bid‘ah sukar untuk bertaubat:

Pertama: Pencipta dan pengamal bid‘ah pada asalnya adalah mereka yang berpaling daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka mengurangi, menambah dan mengubah suai daripada apa yang tulen daripada Allah dan Rasul-Nya. Sikap pencipta dan pengamal bid‘ah yang berpaling  daripada al-Qur’an dan al-Sunnah menyebabkan Allah memalingkan hati mereka dari kebenaran. Pemalingan ini menyebabkan mereka tidak tahu bahawa mereka berada di atas kesalahan, lalu tidak bertaubat darinya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

"Maka ketika mereka berpaling (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah palingkan hati mereka (dari mendapat petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq." [al-Saff 61:05]

Kedua: Pencipta dan pengamal bid‘ah berada di atas satu halunasi bahawa mereka sedang berada di atas kebenaran. Maka halunasi ini menyebabkan mereka merasakan tidak perlu bertaubat kerana taubat hanya untuk orang yang berada di atas kesesatan. Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) menjelaskan:

"Oleh sebab itu para ilmuan Islam seperti Sufyan al-Tsauri dan selainnya berpendapat, sesungguhnya bid‘ah lebih dicintai oleh iblis daripada maksiat.[1] Sebabnya, bid‘ah tidak mempunyai harapan untuk bertaubat daripadanya manakala maksiat mempunyai harapan untuk bertaubat daripadanya. Maksud “bid‘ah tidak mempunyai harapan untuk bertaubat daripadanya” ialah kerana pelaku bid‘ah mengambil untuk agamanya apa yang tidak disyari‘atkan Allah, tidak juga Rasul-Nya, lalu menjadilah indah amalan yang sebenarnya buruk, sehingga dipandangnya sebagai baik.

Selagi mana dia memandangnya baik, maka tidak mungkin dia bertaubat. Ini kerana langkah pertama untuk bertaubat ialah seseorang itu menyedari perbuatannya adalah buruk lalu bertaubat daripadanya, atau dia merasa telah meninggalkan perintah, baik yang bersifat wajib atau sunat lalu bertaubat dan kembali mengamalkannya. Justeru selagi mana dia (pencipta dan pengamal bid‘ah) menganggap baik satu perbuatan padahal yang benar ia buruk, maka selagi itulah dia tidak bertaubat. [Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2002), jld. 10, ms. 09]

Walaubagaimana pun semua ini bukanlah bermakna Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak akan menerima taubat seandainya pencipta dan pengamal bid‘ah ingin bertaubat kepada-Nya. Penjelasan Ibn Taimiyyah sekali lagi menjadi tumpuan:


Oleh kerana itu para ilmuan menyatakan: “Allah menutup pintu taubat bagi pencipta dan pengamal bid‘ah”, ertinya mereka (pencipta dan pengamal bid‘ah) tidak mahu bertaubat kerana menyangka sedang berada di atas petunjuk. Seandainya mereka bertaubat, maka Allah akan menerima taubat mereka sebagaimana (Allah) menerima taubat orang kafir. Sesiapa yang mengatakan bahawa taubat pencipta dan pengamal bid‘ah tidak diterima secara mutlak, maka dia telah salah dengan satu kesalahan yang amat dahsyat. [Majmu’ al-Fatawa, jld. 11, ms. 684]

Oleh itu Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah bukan sahaja meninggalkan bid‘ah tetapi mereka menjauhkan diri dari sekecil-kecil bid‘ah atau sesuatu yang masih samar-samar hukumnya sama ada bid‘ah atau tidak. Ini kerana jika sebelah langkah telah termasuk dalam wilayah bid‘ah, amat sukar untuk keluar daripadanya. Hakikat ini boleh diperhatikan pada suasana sebahagian individu atau masyarakat yang terjebak dalam bid‘ah. Amat sukar untuk menarik mereka keluar ke arah sunnah. Bahkan hari demi hari ciptaan dan amalan bid‘ah mereka bertambah kerana mereka menyangka sedang berada di atas hidayah yang bertambah-tambah.

Dua belas faktor di atas adalah sebahagian daripada sekian banyak faktor kenapa Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sangat berwaspada terhadap bid‘ah, berusaha untuk membanterasnya dan mengingatkan umat Islam daripadanya.

Contoh Bid'ah

Antara contoh-contoh bid'ah yang terdapat dalam masyarakat moden hari ini ialah Sekularisme, Islam Liberal, kenduri arwah, puasa nisfu sya'ban, doa awal tahun dan akhir tahun, beribadah atau membaca al-Qur'an di kubur dan lain-lain yang mencakupi definisi bid'ah dari sudut istilah syarak. 


                                                                                                
[1] Apakah perbezaan antara maksiat dan bid‘ah? Maksiat adalah perbuatan orang yang mengakui perintah larangan Allah dan Rasul-Nya, tetapi tidak mentaati perintah larangan tersebut kerana nafsunya. Bid‘ah adalah perbuatan sengaja berpaling atau mengubah perintah larangan Allah kepada apa yang difikirkannya lebih baik. Justeru pelaku maksiat sentiasa merasai bahawa kemaksiatan yang dilakukannya adalah salah, berbeza dengan pelaku bid‘ah dimana dia sentiasa merasai bahawa bid‘ah yang sedang dilakukannya adalah betul.




Sumber: www.hafizfirdaus.com