Sabtu, 23 Julai 2011

SELAMAT DATANG WAHAI SAHABAT


Ramadan al-Mubarak. Sahabat lama yang dirindui. Beberapa hari lagi kita akan bertemu kembali dengan sahabat yang amat kita rindui iaitu Ramadan al-Mubarak. Kedatangannya amat dinanti oleh orang-orang yang beriman. Setelah hampir setahun berpisah, kini kita akan bertemu kembali dengan penuh rasa gembira dan bersyukur kepada Allah SWT. Ya, jika diizinkan Allah kita pasti akan bertemu dengannya. Insya-Allah.


            Allah Jalla wa ‘Ala berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa. (al-Baqarah 2:183)
            Dalam ayat ini, Allah mewajibkan amalan berpuasa kepada kita seperti mana yang telah diwajibkan kepada umat-umat yang terdahulu, mudah-mudahan dengan amalan ibadah puasa ini kita akan menjadi hamba yang bertaqwa. Bagaimanakah seorang insan itu akan menjadi hamba yang bertaqwa dengan berpuasa? Jawabnya, dalam bulan Ramadan setiap insan yang mengaku Islam akan melatih dirinya daripada sikap berlebih-lebihan, seperti mengawal dirinya daripada memenuhi tuntutan nafsu syahwat pada siang hari. Menahan diri daripada makan dan minum ketika siang hari serta semua sifat dan kelakuan yang buruk seperti ghibah (mengumpat), bercakap kosong dan berbohong. Dengan ini juga, bulan Ramadan dikenali sebagai bulan madrasah. Sesungguhnya dalam bulan yang mulia ini, Allah menjanjikan pelbagai kelebihan yang tidak ada dalam bulan lain yang perlu kita rebut. Marilah kita telusuri beberapa kelebihan tersebut dan berusaha dengan penuh gigih dan keazaman untuk mendapatkannya.

Bonus pahala dan rebat dosa

Dalam bulan ramadan, amalan puasa yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Ini berdasarkan hadis qudsi berikut: 

Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu. (Riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis ini menggambarkan kepada kita betapa banyaknya pahala yang akan dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT, seolah-olah kita mendapat bonus pahala seperti mana kita mendapat bonus gaji daripada majikan kita.

Selain itu, mereka yang berpuasa dengan bersungguh-sungguh dengan penuh iman dan keazaman akan diampunkan dosanya oleh Allah Jalla wa ‘Ala. Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat Muslim)
Inilah apa yang penulis maksudkan dengan rebat dosa. Allah akan ampunkan segala dosa kita yang telah lalu dengan syarat kita berpuasa dengan penuh iman dan keazaman.

Solat Tarawih

Solat tarawih merupakan solat sunat yang keistimewaan pahalanya hanya ditawarkan dalam bulan Ramadan. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan pada malam Ramadan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda: Sesiapa beribadah pada malam Ramadan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas. (Riwayat Muslim)
            Berdasarkan hadis ini, umat Islam sejak dari zaman Rasulullah SAW telah mengamalkan solat tarawih dalam bulan puasa. Menurut jumhur ulama, solat tarawih hukumnya sunat muakkad iaitu suatu amalan yang sangat dituntut untuk dilakukan tetapi tidaklah salah atau menjadi dosa jika ditinggalkan. Namun, amatlah rugi jika kita meremehkan solat tarawih kerana ganjarannya yang amat lumayan seperti mana yang telah dibincangkan di atas.

            Berkenaan dengan solat tarawih ini, penulis ingin menyebut beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk diberikan perhatian. Pertama tentang jumlah rakaat solat tarawih. Sebenarnya tidak ada ketentuan secara pasti daripada Rasulullah SAW sendiri tentang jumlah rakaat solat tarawih. Hakikatnya kaifiyat (kaedah/cara-cara) menunaikan solat tarawih samalah seperti solat malam yang lain. Nama solat tarawih itu sendiri tidak datang daripada Rasulullah SAW. Oleh itu, solat malam pada bulan Ramadan atau yang biasa kita sebut dengan solat tarawih boleh dilakukan bermula selepas solat Isyak sehingga sebelum terbit fajar tanpa ada ketentuan secara pasti tentang jumlah rakaatnya. Ini berdasarkan keterangan ‘Abdullah bin Umar dalam hadis berikut:

Seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, ketika itu baginda sedang berkhutbah. Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir. (Riwayat Bukhari)
            Maka, berdasarkan keumuman hadis di atas tanpa Rasulullah mengkhususkan pada mana-mana bulan dapat difahami bahawa solat tarawih itu dilaksanakan secara dua rakaat, dua rakaat tanpa ada had maksimumnya. Justeru, mereka yang menunaikan solat tarawih 20 rakaat janganlah mengatakan orang yang bersolat dengan 8 rakaat sebagai pemalas dan mereka yang bersolat dengan 8 rakaat janganlah pula menempelak golongan yang bersolat dengan 20 rakaat sebagai pembuat bid’ah. Bahkan, berapa rakaat yang perlu dilakukan bukan menjadi soal. Boleh saja dilakukan sebanyak 2, 4, 22, 24, bahkan 100 rakaat sekalipun. Namun yang perlu dititikberatkan dan diberi perhatian bukanlah kuantiti rakaatnya tetapi kualiti solat tersebut. Ini adalah suatu pilihan yang diberikan oleh agama dalam beribadah kepada Allah. Oleh itu, laksanakanlah sesuai dengan keadaan dan kemampuan masing-masing.

            Kedua, mana yang lebih afdal, solat tarawih secara jamaah atau secara sendirian? Sesungguhnya solat tarawih boleh saja didirikan secara berjamaah atau secara sendirian dan menurut hemat penulis solat tarawih secara jamaah adalah lebih afdal berbanding solat secara sendirian. Ini adalah berdasarkan hadis Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu 'anh berikut yang menerangkan bahawa:

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam bulan Ramadan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam. Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.” (Riwayat al-Nasai’ dan dinilai shahih oleh al-Albani)

Lailatul Qadar (Malam al-Qadar)

Dalam bulan Ramadan, terdapat satu malam yang dikenali dengan Lailatul Qadar. Malam ini sungguh istimewa sehingga terdapat satu surah khusus tentangnya iaitu surah al-Qadar. Dalam surah ini Allah berfirman:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam (Lail) al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam (Lail) al-Qadar? Malam (Lail) al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! [al-Qadar 97:1-5]
            Dalam surah ini dijelaskan bahawa antara keistimewaan Lailatul Qadar ialah Lailatul Qadar merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Jika dihitung, seribu bulan bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Ini bermaksud malam al-qadar lebih baik jika dibandingkan dengan umur seorang datuk yang sudah sangat tua. Ini hanya satu malam! Betapa besar dan istimewanya malam al-qadar ini.

            Bilakah malam al-qadar? Lailatur Qadar berlaku pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadan. Ini berdasarkan hadis berikut di mana Rasulullah SAW menjelaskan:

Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadan.(Riwayat Bukhari)
            Maka pada sepuluh malam yang terakhir hendaklah kita memperbanyakkan amalan kita terutamanya solat malam (qiamullail). Ini kerana apabila masuk sepuluh malam yang terakhir, Rasulullah SAW akan mengasingkan diri daripada isteri-isterinya untuk berqiamullail. Baginda juga turut mengejutkan ahli keluarganya untuk berqiamullail. (Shahih Muslim). Selain itu, kita juga dianjurkan oleh memperbanyakkan berdoa terutamanya doa memohon keampunanan. A’isyah  radhiallahu 'anha  menerangkan bahawa dia pernah bertanya:

“Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?” Rasulullah menjawab:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي.
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku.” (Riwayat Ibn Majah dan dinilai shahih oleh al-Albani)
Melewatkan sahur dan bersegera berbuka

Antara fenomena biasa yang diamalkan oleh kebanyakan orang ketika berpuasa dalam bulan Ramadan ialah mereka bersahur sebelum tidur atau sejam/dua jam sebelum masuk waktu solat Subuh, malah ada yang langsung tidak bersahur. Bersahur tidak sepatutnya diremehkan daripada mengamalkannya seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda:

Bersahurlah kerana sesungguhnya di dalam sahur ada keberkatan. (Riwayat Bukhari)
Sahur juga menjadi pembeza antara puasa orang Islam dengan puasa penganut-penganut agama lain terutamanya Ahli Kitab. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW:

Pembeza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur. (Riwayat Muslim)
Justeru, hendaklah kita membiasakan diri kita untuk bersahur dan hendaklah sahur itu dilakukan pada waktu seperti yang ditunjukkan oleh sunnah Rasulullah SAW iaitu pada akhir waktu malam yang jelas hampir dengan waktu solat Subuh. Ini adalah berdasarkan hadis berikut:

Daripada Anas bin Malik, Zaid bin Tsabit menerangkan bahawa mereka bersahur bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian bangun pergi mendirikan solat (Subuh). Anas bertanya: “Berapa lamakah tempoh antara keduanya (antara sahur dan solat Subuh)?” Zaid menjawab: “Sekadar tempoh membaca 50 atau 60 ayat al-Qur’an.” (Riwayat Bukhari)
            Dalam hadis ini Zaid bin Tsabit menerangkan bahawa mereka bersahur bersama Rasulullah SAW dan setelah selesai sahur mereka terus mendirikan solat Subuh. Kemudian Anas bertanya tentang tempoh masa antara sahur dan solat Subuh tersebut, maka Zaid menjawab tempohnya adalah sekadar membaca 50 atau 60 ayat al-Quran. Membaca 50 atau 60 ayat al-Quran hanya mengambil masa dalam 20 hingga 30 minit sahaja. Justeru, daripada perkhabaran dalam hadis tersebut dapat kita fahami dengan mudah bahawa, jika solat Subuh bermula pada pukul 6 pagi maka sahurnya adalah pada pukul 5.40 atau 5.30 pagi. Inilah yang lebih tepat menurut sunnah.

            Apa yang hendak dijamah pada waktu sahur tersebut terpulanglah kepada selera masing-masing. Bersahurlah walau dengan seteguk air kosong kerana anda akan mendapat kelebihan yang sangat besar dengan sedikit usaha meminum seteguk air kosong ketika bersahur. Rasulullah SAW bersabda:

Makan sahur adalah keberkatan maka janganlah kamu tinggalkannya sekalipun kamu hanya minum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur. (Riwayat Ibn Hibban dan dinilai hasan oleh al-Albani)
Manakala waktu berbuka puasa pula hendaklah disegerakan, jangan dilewatkan. Ini berdasarkan hadis berikut di mana Rasulullah SAW bersabda:

Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.(Riwayat Bukhari dan Muslim)
            Kita juga disunnahkan untuk berbuka puasa dengan rutab (kurma masak yang belum kering), tamar (kurma yang telah kering) atau air. Dalam sebuah hadis Anas berkata:

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadis ini hasan)
            Ketika berbuka puasa kita juga disunnahkan untuk membaca doa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ.
“Adalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila berbuka, baginda bersabda: “Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insyaAllah.”

Ramadan al-Mubarak. Dia datang dan pergi. Kedatangannya sebulan cuma. Oleh itu, apabila dia datang, layan dan santunilah dia sebagai sahabat yang akrab, sahabat yang setia, sahabat yang kita rindu dan kita cinta. Rebutlah segala yang dibawanya agar kita tidak mensiakannya.

SELAMAT BERPUASA! RAMADAN YANG SAMA, NATIJAH YANG BERBEZA!