Khamis, 10 Februari 2011

NABI MUHAMMAD S.A.W

          Seorang ahli astronomi  yang bernama Michael H. Hart telah menyusun sebuah buku yang bertajuk "Seratus Tokoh yang Paling Berpengaruh dalam Sejarah". Dalam bukunya tersebut, beliau menempatkan Nabi Muhammad s.a.w pada kedudukan yang pertama. Ini menggambarkan kepada kita betapa Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang tokoh agung yang pernah hidup di atas muka bumi ini. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w, keluarganya dan sahabatnya.

           Pada tulisan kali ini, penulis akan memperkenalkan secara ringkas sahaja siapakah Nabi Muhammad s.a.w. Tulisan ini ditujukan khasnya kepada golongan bukan muslim agar mereka dapat lebih mengenali siapakah Nabi Muhammad s.a.w dan dapat menjernihkan segala salah faham terhadapa beliau. Apa yang akan penulis bentangkan selepas ini adalah berkaitan dengan fakta sejarah, maka perlu dimaklumi bahawa fakta-fakta tersebut tidak akan terlepas daripada berlakunya perbezaan pendapat di antara ahli sejarawan berdasarkan keilmuan dan maklumat yang diperolehi oleh para sarjana tersebut. Dalam menyampaikan fakta-fakta sejarah ini, penulis akan mencuba sekadar yang termampu untuk menyampaikan fakta dan hujah yang paling sahih dan disepakati oleh majoriti ahli sarjana. Jika pendapat tersebut adalah pendapat yang lemah dan dipegang oleh minoriti ahli sarjana, akan penulis nyatakan dalam kurungan.

          Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang yang berbangsa arab dan beliau berketurunan Quraisy. Quraisy adalah bangsa yang mulia dalam masyarakat arab. Berikut adalah silsilah keturunan beliau. Nama beliau ialah Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Mutallib bin Hisyam bin Abd Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murah bin Ka'b bin Luai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadr bin Kinanah bin Khazimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhor bin Nazzar bin Mu'id bin 'Adnan. Tentang silsilah keturunan Nabi Muhammad s.a.w selepas 'Adnan adalah tidak sahih. Namun, para sarjana sepakat menyatakan bahawa keturunan Nabi Muhammad s.a.w sampai kepada Ismail bin Ibrahim a.s.

          Ismail bin Ibrahim a.s dikatakan oleh ahli sejarawan bahawa daripadanya-lah lahirnya bangsa arab. Ismail a.s. dan Ibrahim a.s., kedua-duanya juga adalah seorang Nabi. Adalah menjadi kebiasaan bangsa arab untuk menghafal atau mengingati silsilah keturunan mereka. Oleh itu, janganlah pembaca sekalian merasa hairan apabila dibentangkan silsilah keturunan Nabi Muhammad s.a.w di sini. Manakala ibu beliau pula bernama Aminah binti Wahb al-Zuhriyyah al-Quraisyiyyah.

          Beliau dilahirkan di Kota Mekah pada tahun 570 M iaitu kira-kira 1400 tahun yang lampau. Beliau menjadi yatim piatu pada umur 6 tahun. Kemudian beliau dipelihara pula oleh datuknya Abdul al-Mutallib. Datuknya adalah seorang pemimpin yang disegani di kalangan orang-orang Quraisy. Selepas dua tahun, datuknya pula meninggal dunia dan selepas itu beliau dipelihara pula oleh bapa saudaranya iaitu Abu Thalib. Abu Thalib sangat sayang kepada beliau dan menjaganya dengan penuh perhatian. Beliau menempuh kehidupannya secara sederhana sahaja.

          Pada umur 25 tahun, beliau mendirikan rumahtangga dengan Khadijah binti Khuwailid, seorang janda hartawan. Beliau sangat disayangi oleh kaumnya dan digelar al-Amin, bermaksud "yang dipercayai". Sebelum mencapai umur 40 tahun, beliau menjalani kehidupannya seperti orang biasa, bergaul dan hidup bersama kaumnya dengan baik. Beliau juga  pernah dilantik beberapa kali  oleh kaumnya untuk menyelesaikan perbalahan dikalangan mereka. Namun, beliau tidak pernah menyembah berhala seperti kaumnya.

          Pada umur 40 tahun, beliau telah memulakan dakwahnya sebagai seorang Rasul Allah (utusan Allah). Beliau menyeru kaumnya mengesakan Tuhan Yang Satu iaitu Allah. Selama tiga tahun beliau berdakwah secara sembunyi kepada ahli keluarga, sahabat beliau dan juga kepada golongan hamba. Selepas tempoh tersebut, beliau memulakan dakwahnya secara terang-terangan pula. Namun, beliau mendapat tentangan yang hebat daripada kaumnya terutama daripada pembesar Quraisy.

          Selama 13 tahun dakwahnya di Mekah, beliau menerima ujian dan tribulasi yang hebat daripada pembesar-pembesar Quraisy. Pengikut-pengikutnya diseksa dan tidak kurang juga yang dibunuh hanya semata-mata kerana mempertahankan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Pembesar-pembesar   Quraisy tidak dapat menerima dakwah dan ajaran yang dibawa oleh beliau sehingga mereka merancang berbagai-bagai strategi bagi menghentikan dakwahnya tersebut. Namun, bapa saudaranya Abu Thalib sentiasa mempertahankan beliau daripada serangan kaum Quraisy. Ini kerana, Abu Thalib juga adalah seorang tokoh dan pemimpin yang sangat dihormati dan disegani oleh kaumnya.    

          Selepas tiga tahun isterinya Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Thalib meninggal dunia, beliau bersama-sama pengikutnya berhijrah ke Madinah. Di sana, dakwah beliau diterima dengan baik oleh penduduk Madinah. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya mendirikan sebuah negara Islam yang pertama di Madinah. Selepas itu, sempadan negara Islam semakin luas dan penganut agama Islam bertambah ramai. Nabi Muhammad s.a.w menjadi pemimpin agama dan juga pemimpin negara dalam masa yang sama.

          Walaupun beliau telah berjaya menjadi seorang pemimpin yang agung, beliau tetap setia menjalankan tugasnya sebagai seorang Rasul Allah sehingga akhir hayatnya. Jika beliau kehendaki, segala kekayaan dan khazanah bumi akan tunduk kepada beliau. Namun, beliau tetap menjalani kehidupannya dengan sangat sederhana sehinga diriwayatkan bahawa beliau dan keluarganya tidak pernah makan sehingga kenyang selama dua hari berturut-turut. Segala kekayaannya digunakan untuk meneruskan usaha dakwahnya dalam menyeru manusia mengesakan Allah. Adakah masih ada pemimpin seperti beliau pada hari ini?

          Begitu juga, sebagai seorang Rasul dan pemimpin umat, beliau sentiasa memberi teladan yang terbaik melalui akhlaknya. Antara aklak mulia beliau ialah kuat berpegang dengan agama, berilmu, lemah lembut, sabar, syukur, adil, zuhud, pemaaf, menjaga kehormatan diri, pemurah, berani, malu, diam, tenang dalam semua keadaan, belas kasihan, baik dalam pergaulan dan lain-lain akhlak yang termasuk dalam pengertian akhlak mulia, sehingga ada yang mengatakan terhimpun akhlak mulia pada seorang insan iaitu Muhammad s.a.w. Banyak riwayat sahih dan masyhur yang menceritakan kepada kita betapa mulianya akhlak beliau sehingga terasa sukar bagi kita untuk mencontohi akhlak beliau secara total.

          Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang manusia biasa yang telah dipilih oleh Tuhan Yang Maha Esa iaitu Allah, sebagai utusannya. Beliau menyeru umat menyembah Allah dan menyampaikan berita gembira dan peringatan daripada Tuhan Yang Maha Mencipta, Allah Jalla wa 'Ala. Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w, keluarganya dan sahabatnya.